Kajian ini dijalankan bagi memahami kesan Kecerdasan Buatan (AI), Pendigitalan dan Ekonomi Hijau terhadap tenaga kerja di Malaysia, serta mengenal pasti kemahiran, program latihan dan strategi peralihan kerjaya yang diperlukan untuk menghadapi perubahan tersebut.
49 Kerjaya Baharu yang Bakal Menjadi Pilihan Masa Hadapan
Perkembangan Kecerdasan Buatan (AI), Pendigitalan, Ekonomi Hijau dan Teknologi Baharu sedang mengubah dunia pekerjaan dengan pantas. Melalui Kajian Impak AI, Pendigitalan dan Ekonomi Hijau oleh TalentCorp, sebanyak 49 kerjaya baharu dikenal pasti sebagai antara pekerjaan yang dijangka semakin mendapat permintaan dalam tempoh 3 hingga 5 tahun akan datang.
Kerjaya-kerjaya ini merangkumi empat bidang utama, iaitu AI dan Pendigitalan, Ekonomi Hijau, Teknologi Baharu serta beberapa peranan yang menyokong pembangunan industri masa hadapan. Antara contoh kerjaya ialah Jurutera AI, Saintis Data, Pakar Keselamatan Siber, Pakar Kelestarian dan Operator Kenderaan Autonomi.
Walaupun sebahagian daripada kerjaya ini mungkin masih baharu, ia menunjukkan bahawa dunia pekerjaan sentiasa berkembang seiring dengan kemajuan teknologi dan keperluan industri.
Kemahiran Asas Dalam Permintaan
Kemahiran asas yang sangat diperlukan oleh majikan dalam pelbagai industri pada masa kini dan kemahiran ini biasanya merangkumi kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah, literasi digital, kerja berpasukan, dan pemikiran kritikal.
Kemahiran ini penting kerana ia menjadi asas kepada kebolehpasaran seseorang individu, serta membantu pelajar lebih bersedia untuk dunia pekerjaan yang sentiasa berubah dan dipengaruhi oleh teknologi serta ekonomi semasa.